Kelantan: Bapa tiri didakwa tiga pertuduhan amang seksual

Hidayatidayu Razali

KOTA BHARU: Seorang bapa tiri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tiri di bawah umur, pada 2023 dan 11 April lalu.

Tertuduh berusia 54 tahun dan bekerja sebagai buruh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicara terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kampung Merkang, dekat Pasir Puteh pada 2023 dan jam 9 pagi, 11 April 2025.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (b), Seksyen 14 (d), Seksyen 14 (c) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta yang sama dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Hajar tidak mencadangkan jaminan kepada tertuduh kerana kes itu serius.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 25 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan