Krisis Bersatu: Wan Fayhsal dakwa ada tali barut cuba atur sesuatu terhadapnya dan Wan Saiful

SITI NUR ZAWANI
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa wujud tali barut dalam parti itu yang cuba “mengatur sesuatu” terhadapnya dan Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, apa yang berlaku terhadapnya dan rakan-rakan lain adalah amat mengecewakan dan merugikan Perikatan Nasional (PN) kerana mereka perlu berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.

Namun katanya, beliau tidak akan mengalah dan tidak gentar menghadapi sebarang ujian.

“Saya takkan gentar sama sekali dengan ujian dan cabaran. Untuk makluman, sebaik sahaja berita ini diterima kami mendapat ratusan mesej dari rakan-rakan sama ada kerajaan dan pembangkang yang menyatakan simpati dan sokongan. We are not alone.

“We will fight those who we deem to be tali barut yang ada, yang cuba mengatur sesuatu terhadap kami. Remember, once you removed a person, that means that person is too dangerous for that particular individuals in that party,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Perkara itu turut diakui Wan Saiful yang mendakwa terdapat usaha mengatur satu naratif kononnya beliau dan beberapa pemimpin Bersatu lain yang dipecat, tidak mengikut proses undang-undang parti.

Menjawab pertanyaan mengapa isu dalaman parti dihebah ke luar, Wan Saiful berkata bukan mereka yang memulakan perkara itu, tetapi individu lain cuba menyerang secara terbuka sehingga ke pengetahuan media.

Wan Saiful mempersoal bagaimana isu dalaman parti itu boleh diketahui media lebih awal daripada mereka yang dipanggil untuk menghadiri perbicaraan Lembaga Disiplin (LD) minggu lalu.

Katanya, selama ini mereka mengambil pendekatan menyelesaikan perkara secara dalaman, namun terdapat pihak lain dalam parti yang sengaja membawa isu itu ke khalayak umum untuk mencipta naratif tertentu.

“Ada yang tanya kenapa isu dalaman parti dibawa ke media. Sebenarnya yang kami buat selama ini secara dalaman. Tak bawa pun keluar. Tapi yang menyerang kami secara terbuka bawa macam-macam pergi ke media. 

“Sehinggalah kami dipanggil Lembaga Disiplin, tiba-tiba media tahu lebih awal daripada kita sendiri yang dipanggil ini.  Siapa yang panggil? 

“Jadi sebenarnya ada pihak yang sedang mengatur, dan pengaturan mereka ini adalah untuk mencipta satu naratif kononnya mereka ikut proses parti, sedangkan kamilah yang sebenarnya mengikut proses parti,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan