Lelaki warga emas ditemui maut dalam longkang selepas keluar beraya

Buletin TV3 
Mayat lelaki warga emas yang ditemukan dalam longkang di Taman Desa Country Homes, Rawang, semalam. – Foto Bomba
KUALA LUMPUR: Lelaki warga emas yang mayatnya ditemui dalam longkang di Bandar Country Homes, Rawang, semalam dikatakan keluar beraya ke rumah rakannya, sehari sebelum kejadian.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata siasatan mendapati lelaki berusia 73 tahun itu ada memaklumkan adiknya dia mahu ke rumah seorang rakan untuk beraya, kira-kira jam 1 tengah hari, kelmarin.

“Namun pada keesokan harinya sekitar jam 9 pagi, adik mangsa gagal menghubunginya sebelum berusaha mencari di rumah rakan serta kawasan sekitar, tetapi tidak berjaya menemuinya.

“Mangsa dipercayai terjatuh ke longkang sebelum ditemui oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Noor Ariffin berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki berkenaan pada jam 12.40 tengah hari, semalam.

“Dia disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Pegawai Perubatan dari Hospital Sungai Buloh.

“Mayatnya dibawa ke Hospital Sungai Buloh dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya sambil menambah orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Katanya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Ketua Polis Balai Bandar Country Homes, Asisten Superintendan Murziana Qayyisa Angu di talian 012-5285499 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-6126 2222.

Semalam, media melaporkan mayat seorang lelaki warga emas ditemukan dalam longkang di Taman Desa Country Homes, Rawang.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang digerakkan ke lokasi untuk membantu mengangkat mayat mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 73 tahun yang berada dalam longkang sedalam 1.2 meter.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan