Lelaki warga Indonesia ditahan, cuba pecah rumah melalui bumbung

Norzamira Che Noh
SHAH ALAM: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas cuba memecah masuk sebuah rumah, dengan memanjat bumbung kediaman itu dalam kejadian di Jalan Kebun, Seksyen 30 dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan kejadian kira-kira jam 6.32 pagi.

Katanya, apabila tiba di lokasi, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) berjumpa dengan penduduk setempat dan menyerahkan seorang lelaki yang dipercayai cuba memecah masuk ke dalam sebuah rumah di kawasan berkenaan.

“Suspek yang ditangkap adalah seorang warganegara Indonesia berusia 38 tahun dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

“Malah suspek cuba memecah masuk ke dalam rumah dengan cara memanjat bumbung rumah bagaimanapun perbuatannya disedari pemilik yang mendengar bunyi pergerakan di atas bumbung.

“Pemilik rumah kemudian meminta bantuan penduduk lain untuk menangkap saspek yang bertindak melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh serta Seksyen (6)(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana saspek tidak mempunyai apa-apa dokumen pengenalan diri yang sah untuk masuk ke Malaysia.

Katanya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian boleh berhubung dengan Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Sarjan Aznor Zainal di talian 017-3989155.

Terdahulu, kejadian itu turut dikongsikan di akaun Facebook, memaparkan seorang lelaki berada di atas bumbung sebuah rumah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan