Murid Tahun 4 meninggal dunia di sekolah

Ahmad Hasbi

SEREMBAN: Murid tahun empat ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Senawang, jam 1 tengah hari hari ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 1.19 tengah hari sebelum pasukannya ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak ini meninggalkan kelas pada jam 12.10 tengah hari. Murid ini ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah itu.

“Mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut namun disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai punca dan kronologi kejadian, Alzafny berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan dan dalam masa sama memberi tumpuan penuh terhadap emosi murid serta guru di sekolah terbabit.

“Jadi mulai esok intervensi ini akan dilaksanakan secara menyeluruh oleh semua kaunselor kita di peringkat Negeri Sembilan untuk turun dan lihat.

“Kita juga mendapat sokongan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), khususnya Pusat Kesihatan Mental untuk memberikan tumpuan kepada intervensi ini yang akan dilaksanakan secara berterusan,” katanya ketika ditemui di Seremban.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak bimbang atau takut untuk menghantar anak masing-masing ke sekolah kerana sesi persekolahan akan diteruskan seperti biasa.

Sementara itu, beliau juga turut meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu dan turut memohon pihak keluarga kanak-kanak terbabit diberi privasi serta ruang.

“KPM merakamkan takziah dan rasa sedih kita atas kejadian ini. Kita di peringkat KPM memberikan sepenuh sokongan kepada keluarga ketika ini dari segi sudut emosi dan psikososial,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan