Negara kerdil 550,000 penduduk lakar sejarah layak ke Piala Dunia

AFP
PENYOKONG bersorak menyaksikan perlawanan di depan skrin besar dekat Cap Verde. FOTO AFP
PENYOKONG bersorak menyaksikan perlawanan di depan skrin besar dekat Cap Verde. FOTO AFP
Johannesburg: Cape Verde menewaskan Eswatini 3-0, awal pagi tadi untuk mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2026 buat kali pertama dalam sejarah.

Pasukan dari gugusan pulau di luar pantai Senegal yang mempunyai kira-kira 550,000 penduduk itu menjadi negara kedua dengan populasi paling kecil yang layak ke Piala Dunia, selepas Iceland yang mempunyai lebih sedikit penduduk iaitu 350,000 ketika kejohanan di Rusia 2018.

Cape Verde menjuarai Kumpulan D dengan 23 mata, lebih empat mata daripada Cameroon, yang memegang rekod Afrika untuk penyertaan terbanyak di Piala Dunia dengan layak sebanyak lapan kali. Cameroon terikat tanpa jaringan 0-0 menentang Angola di Yaounde.

"Memberikan kegembiraan ini kepada rakyat kami amat besar ertinya... ini adalah kemenangan untuk seluruh rakyat Cape Verde dan, paling penting, kemenangan untuk mereka yang berjuang demi kemerdekaan kami.

"Ia adalah detik istimewa dalam sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan kami," kata jurulatih, Pedro Brito kepada wartawan.

Penjaga gol berusia 39 tahun, Vozinha, yang jelas sebak, mengakui: "Saya sering mengimpikan detik ini sejak kecil. Kini masanya untuk meraikan.

"Kami tahu kami boleh bermain dengan lebih baik (pada separuh masa kedua), dan itulah yang kami lakukan... sekarang masa untuk meraikan."

Selepas menguasai separuh masa pertama pusingan kelayakan terakhir tanpa banyak mencipta peluang gol, skuad Blue Sharks meledak dua gol menerusi Dailon Livramento dan Willy Semedo dalam sembilan minit pertama selepas rehat di hadapan 15,000 penyokong yang mengibarkan bendera di Praia.

Livramento menjaringkan gol keempatnya dalam kempen kelayakan 10 pusingan itu pada minit ke-48, manakala Semedo menambah satu lagi enam minit kemudian. Kedua-dua gol dihasilkan daripada penyudah jarak dekat.

Cape Verde menambah gol ketiga pada masa kecederaan apabila pemain gantian, Joao Paulo, Stopira, memanfaatkan bola muntah untuk menjaringkan gol.

Cape Verde banyak bergantung kepada pemain yang lahir di luar negara tetapi mempunyai ibu bapa atau datuk nenek asal Cape Verde. Livramento dilahirkan di Rotterdam, manakala Semedo berasal dari kawasan berhampiran Paris.

Eswatini datang ke gugusan 10 pulau itu tanpa banyak menyerang dengan menggunakan formasi 5-4-1.
-Hmetro 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan