Pendaki ditemukan maut selepas dua hari hilang, polis tahan dua malim gunung

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
FOTO Ihsan JBPM Perak
IPOH: Polis menahan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) susulan insiden lelaki ditemukan meninggal dunia ketika melakukan aktiviti mendaki di Gunung Liang di Muallim, Tanjong Malim, semalam.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, penahanan dua individu berusia 40-an itu dilakukan polis sebaik menerima laporan dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) atas kesalahan memasuki hutan simpan tanpa permit membabitkan sempadan Perak.

Katanya, kumpulan pendaki yang dibimbing oleh dua malim gunung terbabit hanya memperoleh permit memasuki hutan simpan dari Jabatan Perhutanan Negeri Pahang memandangkan kumpulan itu memulakan pendakian di kawasan Bentong, Pahang.

“Kumpulan pendaki ini naik daripada sebelah Pahang di Bentong namun mereka turun di sebelah Perak di daerah Muallim.

“Jadi tangkapan terhadap dua malim gunung ini kerana mereka ada permit memasuki hutan simpan semasa di kawasan Pahang namun sebaliknya mereka turun dan memasuki kawasan hutan simpan di Perak iaitu sebelah Muallim.

“Jadi mereka memasuki kawasan hutan simpan di Perak tanpa permit. Tangkapan dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak atas kesalahan memasuki atau berada di kawasan hutan simpan tanpa permit atau kelulusan yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu sesi sidang media kejayaan Op Tapis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Kompleks Latihan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Jalan Pasir Puteh, di sini hari ini.

Terdahulu, Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata mangsa, Mustaqqeem Mansoor, 34, yang beralamat di Sungai Petani, Kedah ditemukan meninggal dunia pada jam 3.30 petang semalam di puncak Gunung Liang Barat, Muallim.

Selain bomba, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mencari mangsa yang dilaporkan hilang sejak dua hari sebelumnya, dibuat membabitkan 22 anggota daripada pelbagai agensi antaranya polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

Mohammad Azlin berkata, dua malim gunung berkenaan bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan polis, dengan siasatan dijalankan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

“Sepatutnya mereka turun di daerah yang sama tempat mereka naik untuk ianya tak menjadi kesalahan, tetapi bila kumpulan itu turun di sebelah Muallim (Perak), maka mereka dikira memasuki kawasan hutan simpan tanpa permit,” katanya.

Allahyarham Mustaqqeem dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 10 rakan dari Bukit Fraser di Pahang pada 10 Oktober lalu dan dijadualkan turun di Gunung Liang di Perak.

Mangsa dikatakan kali terakhir dikatakan bersama seorang individu ketika berada di Puncak Gunung Liang Barat pada jam 10.30 malam, 14 Oktober dalam keadaan sakit kaki dan berjalan perlahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan