Megah-1 gegar dunia tenaga, penemuan terbesar Petronas dalam 20 tahun
Harapandaily
NAZRI HAMDAN
Penemuan medan minyak Megah-1 oleh Petronas Carigali merupakan berita terbesar dalam industri tenaga negara sejak dua dekad lalu.
Medan itu terletak di perairan dalam Sabah (Deepwater Block 3K), dengan rizab minyak yang dijumpai dianggarkan antara 200 hingga 300 juta tong minyak.
Saiznya hampir menyamai medan Kikeh yang sebelum ini dianggap sebagai “permata” Sabah.
Jika harga minyak Brent kekal sekitar USD80 setong, nilai potensi minyak ini boleh mencecah antara USD16 bilion hingga USD24 bilion (RM75–115 bilion), jumlah yang cukup untuk menampung import minyak Malaysia hampir setahun.
Lebih membanggakan, kadar kejayaan eksplorasi Petronas kini melebihi 80%, jauh mengatasi purata global yang biasanya hanya sekitar 30 hingga 40 peratus.
Yang paling mengagumkan, projek ini dilaksanakan sepenuhnya hasil kepakaran anak tempatan tanpa penglibatan kerjasama luar.
Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Carigali, Hazli Sham Kassim, mendedahkan bahawa kejayaan ini dicapai dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalaman yang dinamakan ERMAI (Enhanced Resource Monetisation Artificial Intelligence).
Ia sistem yang mampu menjalankan analisis data geologi yang dahulunya mengambil masa enam hari, kini hanya memerlukan enam saat.
Dengan teknologi tersebut, Petronas berupaya mengenal pasti peluang pengeluaran baharu dengan lebih cepat dan tepat.
Penemuan Megah-1 bukan sekadar kejayaan menemui sumber minyak, tetapi bukti bahawa Malaysia telah melangkah ke fasa baharu dalam eksplorasi tenaga moden — lebih bijak, efisien dan berdikari tanpa perlu menunggu kepakaran luar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan