Dibogel tiga kali, PU Rahmat kongsi pengalaman hadapi 'bangsa ketakutan'
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my

PU Rahmat berkongsi pengalaman tidak dapat dilupakannya selepas diculik dan ketika berada dalam tahanan rejim Israel. FOTO Tangkap Layar TikTok
Kuala Lumpur: "Kalau ada video 'leaking' (tersebar), padam la… Insya-Allah, Allah SWT jaga aib saya."
Itu reaksi Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan, 32, atau PU Rahmat salah seorang aktivis Global Sumud Flotila (GSF) ketika diminta berkongsi pengalamannya yang tiga kali dibogelkan selepas diculik dan berada dalam tahanan rejim Israel.
Rahmat mendedahkan perkara itu dengan peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Ahmad Nazrin Abu Bakar ketika diminta berkongsi pengalaman tidak dapat dilupakannya sepanjang berada dalam tahanan.
Katanya, pengalaman itu dilaluinya selepas ditahan sehingga dimasukkan ke dalam penjara.
"Saya sendiri tiga kali kena bogel, saya tak malu nak cakap benda ini sebab saya percaya kita semua lahir dalam keadaan bogel dan mati dalam keadaan bogel.
"Tiga kali saya dibogelkan hanya kerana dia takut ada senjata pada badan saya. Pertama dalam kapal tapi tiada orang melainkan tentera.
"Kedua di imigresen, ketiga di penjara. Tiga lapisan, tiga kali saya dibogelkan jadi nampak sangat mereka takut dengan senjata," katanya.
Menurutnya, dia dapat melihat sendiri dengan jelas ketakutan rejim Israel daripada anggota tentera hingga ke peringkat atasan termasuk Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir.
"Bila mana tentera Israel, tentera haram masuk, kita perhatikan pergerakan mereka tidaklah kemas mana.
"Kita walaupun bukan orang dalam bidang tentera, kita nampak mereka sangat berhati-hati atau ketakutan.
"Ketakutan mereka dizahirkan melampau sehingga ada menteri pergi ke arah kami provok dengan kata pembunuh anak Yahudi, kita balas kata engkau pembunuh anak Palestin.
"Dia lari, dia 'blah' (pergi)…kalau dia 'power' (berkuasa), dia lawan. Tak, dia tak berani. Dia nak kata apa?
"Daripada tentera dia ketakutan, imigresen takut, penjara takut senjata, risikan takut dengan kita, menteri pun takut. Mereka ini bangsa penuh dengan ketakutan.
"Takut dengan diri mereka sendiri sebab mereka tahu mereka buat salah sebab orang salah saja takut," katanya.
Disebabkan itu, Rahmat dan aktivis lain yang ditahan tidak gentar walaupun diprovokasi sejak awal tangkapan mereka.
"Alhamdulillah kita ada di pihak berani kerana benar dan semoga kita kekal dalam kebenaran," katanya.
Terdahulu, media melaporkan beberapa sukarelawan lain turut mendapat layanan buruk tentera Israel antaranya Ardell Aryana atau nama sebenarnya, Nurul Hidayah Mohd Amin yang dilaporkan ditarik rambut dengan kasar selain ditumbuk di bahagian muka oleh tentera Israel sehingga mengalami kecederaan hingga terpaksa mendapat rawatan di hospital.
Selain Ahmad Nazrin, empat peguam juga aktivis undang-undang hak asasi manusia yang mewakili 23 sukarelawan Malaysia terbabit adalah Fahmi Abd Moin, Dir Kheizwan Kamaruddin, Azril Mohd Amin, dan Luqman Mazlan.
Semua 23 sukarelawan Malaysia itu sebelum ini ditahan pihak berkuasa Israel, Khamis lalu sebelum dibawa ke penjara Ketziot, yang terletak di padang pasir Negev.
Bagaimanapun, kesemua sukarelawan terbabit dibebaskan dan berlepas dari Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dari Eilat, Israel.
Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar menjangkakan 23 sukarelawan Malaysia yang terbabit dalam misi GSF dapat terbang pulang ke tanah air, seawal-awalnya hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan