Tular video lelaki mengamuk, polis terpaksa lepas tembakan amaran

MOHD YUNUS YAKKUB
Tangkap layar kejadian amuk berkenaan di Ijok, semalam.
KUALA SELANGOR – Tular sebuah video memaparkan aksi cemas apabila anggota polis terpaksa melepaskan tembakan amaran bagi menahan seorang lelaki yang mengamuk sambil membawa pisau pemotong daging di Taman Jasa, Ijok di sini semalam.

Bagaimanapun dalam insiden itu tiada kecederaan dilaporkan terhadap suspek berkenaan yang berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 6 petang memaklumkan seorang lelaki mengamuk dan membawa pisau pemotong daging.

Katanya, lelaki berusia 25 tahun itu dikatakan ingin menyerang orang awam di taman berkenaan.

“Polis yang segera ke lokasi kejadian mendapati lelaki itu sedang mengamuk sambil menjerit dan memegang pisau berkenaan.

“Polis kemudian berjaya menahan suspek dan tiada kecederaan berlaku dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, suspek kini direman selama enam hari mulai hari ini hingga 18 Oktober depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Siasatan setakat ini mendapati suspek itu tidak terlibat dalam kes samun seperti ditularkan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan