SITI NUR ZAWANI
Di saat orang ramai menyambut kepulangan 23 sukarelawan Malaysia dari misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di KLIA semalam dengan semangat dan laungan takbir, ada satu figura penting yang tidak kelihatan dalam lensa kamera media.
Figura itu tidak lain tidak bukan adalah sosok penting dalam misi ini iaitu Tuan Haji Zainal Rashid Ahmad yang memilih pulang secara senyap tanpa disanjung.
Menurut perkongsian sahabatnya yang juga seorang bekas wartawan, Syahril A. Kadir, kepulangan ZRA secara senyap-senyap ke rumahnya dibantu Syirfan Indra dan rakan-rakannya lain.
Akuinya proses ‘melarikan’ ZRA memang agak sukar kerana kehadiran ramai penyokong, namun mereka berjaya membawa keluar tokoh penting itu sehingga tidak dapat dihidu para media.
“Airmata kami semua berlinangan bila memeluk lelaki berusia 58 tahun ini tadi di rumahnya tengah malam tadi. Turut hadir adalah antara tulang belakang ZRA Strim, saudara Nua.
“Tubuh Zainal makin kurus, riak keletihan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Tapi itulah ZRA.
“Dia telah laksanakan apa yang dia percaya dan perjuangkan selama ini. Dia serahkan semuanya pada Allah yang maha Esa. Dia ingin kembali sebagai insan biasa seperti mana hari-hari sebelumnya.
“Jangan buang masa memuji dan menyanjung dirinya. Dia tidak mahu semua itu. Dan itu bukan dia!,” kongsi syahril.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan