8 warga asing ditolak masuk ke Malaysia disyaki bukan pelancong tulen

Zuliaty Zulkiffli
Warga asing yang ditolak kemasukan oleh AKPS di Kompleks ICQS kerana tidak memenuhi syarat dan bukan pelancong tulen. FOTO Ihsan AKPS
BUKIT KAYU HITAM: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menolak kemasukan lapan warga asing ke negara ini melalui Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini semalam.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, penolakan masuk itu dibuat terhadap warga asing terbabit yang disyaki bukan pelancong tulen dan tersenarai dalam senarai syak jabatan, tidak memenuhi syarat “break of stay” serta mengemukakan bukti tempahan tiket dan hotel palsu.

Beliau berkata, kesemua warga asing terbabit terdiri daripada seorang wanita warga Thailand; dua lelaki warga China; tiga lelaki warga India dan dua warga Sepanyol iaitu lelaki serta wanita.

“Mereka berusia antara 30-an hingga 40-an. Semua individu terbabit diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama dan tindakan ini diambil di bawah Seksyen 8(3), Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Mohd Nasaruddin berkata, tindakan penolakan masuk ini dilaksanakan mengikut prosedur operasi standart (SOP) dan pekeliling jabatan yang sedang berkuat kuasa dan tiada elemen jenayah atau siasatan penguatkuasaan dikenal pasti.

Beliau berkata, AKPS sentiasa komited dalam memastikan pintu masuk negara berada dalam kawalan terbaik serta tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak bagi tujuan yang menyalahi undang-undang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan