Bekas pesuruhjaya kehakiman mengaku tidak bersalah cabul kehormatan wanita

Nurul Hidayah Bahaudin

PETALING JAYA: Bekas pesuruhjaya kehakiman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dua pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita pada Januari lalu.

Tertuduh, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah, 63, yang kini bertugas sebagai penasihat undang-undang sebuah agensi kerajaan membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohamad Shariff didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 27 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan parkir dan ruang lobi premis perniagaan, Jalan Professor Diraja Ungku Aziz, di sini, antara jam 3.44 petang hingga 4.55 petang pada 6 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aqharie Durranie Aziz, manakala peguam Syed Azharul Asiq Syed Azhar mewakili tertuduh.

Majistret Farah Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 13 Januari 2026 untuk sebutan kes bagi penyerahan dokumen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan