Cubaan tukar Hamzah ketua pembangkang ‘bunuh’ PN

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin dianggap ‘aset paling stabil’ dalam Perikatan Nasional (PN) ketika ini yang menurut penganalisis cubaan menyingkirkannya sebagai ketua pembangkang hanya akan membunuh gabungan itu.

Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, spekulasi pertukaran membabitkan Ahli Parlimen Larut dengan wakil rakyat Putrajaya Radzi Jidin seperti ditularkan berisiko menjadi ‘bom jangka’.

Menurut Zaharuddin, Hamzah mempunyai kekuatan unik terutama kemampuan menjadi ‘jambatan’ antara dua gaya politik PN — teknokrat Bersatu dan populisme PAS.

Beliau berkata, Muhyiddin secara prinsip layak mengetuai pembangkang atas kapasiti pengerusi PN, namun langkah itu akan dianggap ‘overkill’ sekali gus menyempitkan ruang gerak PN menjelang pilihan raya.

“Melantik Hadi Awang (presiden PAS) pula bakal menguatkan naratif bahawa PN terlalu Islamik dan menjarakkan pengundi bukan Melayu,” katanya kepada FMT.

Selasa lalu, berlaku pertemuan 18 Ahli Parlimen Bersatu dengan Muhyiddin, perkembangan menyusul dua minggu selepas 19 Ahli Parlimennya menghantar surat bantahan tindakan disiplin dikenakan terhadap Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor dipecat daripada parti oleh Lembaga Disiplin Bersatu manakala Wan Fayhsal, Ahli Parlimen Machang digantung. Kedua-duanya memfailkan rayuan.

Pertemuan itu juga berlangsung di sebalik penyebaran surat tular, konon mendesak Radzi menggantikan Hamzah sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan, berkata pertemuan itu tidak membincangkan kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata, jawatan ketua pembangkang cukup penting dan alternatif perdana menteri daripada blok luar kerajaan seperti Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Hamzah diletakkan untuk dilatih sebagai pemimpin masa depan, kalau ganti Radzi nampak macam tak sesuai. Ketua pembangkang ini alternatif PM, adakah Radzi orangnya?” soalnya.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, pula berpendapat kepimpinan Bersatu mungkin tidak berani mengambil tindakan secara langsung terhadap Hamzah, sebaliknya menyasarkan penyokong beliau terlebih dahulu.

“Bila alasan PRN Sabah digunakan, ini bermakna Muhyiddin mahu menurunkan suhu, tidak mahu membesarkan isu ketika ini,” katanya.

Bagaimanapun, Azmi menjangka strategi ‘tahan dulu’ itu hanya mampu bertahan sementara.

“Sampai bila mereka boleh berbuat demikian? Lambat-laun isu kepimpinan ini tetap akan meletup,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan