Dadah bernilai RM5.34 juta ditinggalkan ‘transporter’ dalam kereta di atas alat timbang kenderaan

Fazli Ahmad
Sebahagian daripada bunga ganja yang dirampas seberat berkait kes di Bentong. – FOTO: NSTP
KUANTAN: Status mencurigakan sebuah kereta yang ditinggalkan di atas alat penimbang kenderaan di tapak pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lama Bentong-Bukit Tinggi, dekat Bentong terjawab selepas 240 kilogram (kg) dadah ditemui di dalamnya.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dadah jenis ganja dan bunga ganja dianggarkan bernilai RM5.34 juta itu ditemui kira-kira jam 11.30 pagi pada 4 November lalu.

Mengulas lanjut, katanya sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan daripada kontraktor projek mengenai sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan yang ditinggalkan di tapak pembinaan itu.

Katanya, hasil pemeriksaan polis menemui 120 bungkusan plastik lut sinar berisi bunga ganja yang dimuatkan dalam sembilan kotak di dalam kereta itu.

“Turut ditemui 120 bungkusan plastik lut sinar berisi ganja dalam empat guni.

“Berdasarkan maklumat kereta itu sudah ditinggalkan beberapa jam di atas alat penimbang kenderaan di tapak projek itu.

“Semakan rekod mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran sebenar dan kereta itu milik individu berasal dari Johor,” katanya pada sidang media, hari ini.

Yahaya berkata, polis sedang mengesan pemilik kenderaan untuk membantu siasatan, selain mengenal motif dadah itu ditinggalkan di tapak pembinaan terbabit.

Bagaimanapun polis tidak menolak kemungkinan ganja dan bunga ganja itu dibawa individu yang dipercayai mengambil upah atau bertindak sebagai ‘transporter’.

“Siasatan sedang dilakukan dan sehingga kini belum ada tangkapan dilakukan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan