K PRAGALATH
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Seri Saifuddin Abdullah tidak menolak kemungkinan bahawa mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad boleh menjadi calon perdana menteri untuk Perikatan Nasional.
“Saya tak pernah bincang perkara ini bersama kawan – kawan saya tapi its worth looking at the option.
“Ada yang kata PRU lambat lagi tapi saya bimbang keadaan akan lebih teruk menjelang waktu kerajaan baharu dibentuk,” kata Saifuddin.
Beliau berkata demikian sebagai balasan kepada cadangan calon perdana menteri yang wajar diketengahkan oleh PN.
Cadangan tersebut dibuat oleh hos audio siar, The Zaid Ibrahim Podcast, Datuk Zaid Ibrahim semalam.
Persoalan calon perdana menteri penting kerana Pas telah menunjukkan kesediaan untuk mengambilalih kepimpinan PN tetapi tidak begitu terhadap jawatan perdana menteri.
Bersatu telah pun meluluskan usul menamakan presiden parti, Tan Sri Mahiaddin Yassin, sebagai calon perdana menteri Perikatan Nasional.
Saifuddin pula merupakan antara 120 pemimpin Bersatu yang menandatangani surat meminta penamaan calon perdana menteri tersebut tidak dibuat di dalam perhimpunan agung Bersatu.
Sebelum itu Saifuddin turut mendedahkan pimpinan Bersatu ada berjumpa dengan Mahathir berhubung krisis Bersatu tetapi tidak mendapat penyelesaian yang didambakan.
“Saya dengar khabar ada pertemuan dengan Dr Mahathir. Rombongan yang jumpa Dr Mahathir tak dapat apa yang dihajatkan.”
Dr Mahathir ialah perdana menteri keempat dan ketujuh yang mentadbir Malaysia selama 22 tahun bersama BN dan 22 bulan bersama Pakatan Harapan.
Beliau juga adalah pengerusi pertama Bersatu yang dipecat.
Bersatu ketika ini berdepan krisis kepimpinan ekoran penolakan sekumpulan pimpinan yang merasakan Mahiaddin yang tidak sesuai memimpin parti tersebut dan juga tidak sesuai menjadi calon perdana menteri.
Saifuddin turut menengahkan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai calon perdana menteri.
“Apa yang kita benar-benar perlukan ialah muka baru,” katanya dalam Bahasa Inggeris.
“Ada teman-teman yang mengatakan begini, sudah-sudahlah, ini yang gaduh lama-lama termasuk nama Tun, Anwar, Zahid dan Mahiaddin.
“Itu yang timbul nama Hamzah.”
Hamzah ialah timbalan presiden Bersatu dan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat.
Saifuddin menambah Mahathir boleh memainkan peranan sebagai penasihat kepada Hamzah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan