FIFA: Beberapa pemain 'warisan' dapat passport hari sama mohon

Malaysiakini 

Sebahagian pemain bola sepak ‘warisan’ yang kini digantung menerima kelulusan permohonan pasport Malaysia pada hari yang sama mereka mengemukakan borang permohonan, kata Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Menurut jawatankuasa Fifa, permohonan pasport Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo dan Jon Irazabal Iraurgui dihantar dan diluluskan pada 3 Jun manakala perkara sama berlaku kepada Hector Alejandro Hevel Serrano pada 18 Mac.

Sementara itu, Gabriel Felipe Arrocha menyerahkan permohonannya pada 17 Mac dan Facundo Tomas Garces Rattaro pada 1 Jun, dengan kedua-dua permohonan mereka kemudiannya diluluskan pada 18 Mac dan 3 Jun.

Fifa berkata para pemain terlibat telah mengemukakan dua permohonan berasingan untuk memperoleh kewarganegaraan melalui proses naturalisasi kerajaan.

“Permohonan pertama telah ‘dipertimbangkan untuk kelulusan khas’ dan Kementerian Dalam Negeri mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara untuk ‘menerima dan memproses’ permohonan kerakyatan pemain selepas mereka menerima permit masuk ke negara ini dan mereka sudah berbuat demikian.

“Para pemain kemudian tampil di hadapan pihak berkuasa Malaysia dan menyerahkan permohonan kedua untuk naturalisasi mereka, kali ini mengemukakan keseluruhan dokumen beserta borang berkaitan (Permohonan Kedua).”

Fifa berkata dokumen permohonan itu mengandungi tandatangan dan cap jari setiap pemain serta surat iringan yang menyatakan tiga keping foto pasport terkini, bayaran pendaftaran permohonan, kad pengenalan, permit masuk dan dokumen perjalanan telah dilampirkan.

“(Namun) tiada satu pun fail permohonan mengandungi sebarang dokumen keturunan pemain, iaitu sijil lahir ibu bapa atau datuk nenek.”

Fifa berkata maklumat mengenai keturunan pemain tersebut dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada pihaknya ketika siasatan Fifa berhubung kelayakan pemain terbabit.

Dalam keputusan sama, Fifa mendedahkan pemain yang digantung itu memaklumkan mereka tidak boleh bertutur dalam Bahasa Malaysia, bertentangan dengan dakwaan FAM bahawa semua pemain telah lulus ujian Bahasa Malaysia yang diperlukan bagi permohonan kewarganegaraan tersebut.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat pada 9 Oktober bahawa dia menggunakan budi bicara berkaitan syarat tempoh pemastautin, sambil mendakwa semua pemain memenuhi keperluan termasuk penguasaan bahasa Malaysia.

Kesemua pemain ini dibawa masuk melalui proses pencarian bakat pada 2024, dengan proses naturalisasi dimulakan pada akhir tahun berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan