Hishamuddin kena jelaskan bagaimana Exco Terengganu boleh jadi pengerusi GLC

SITI NUR ZAWANI
Sejak semalam kecoh mengenai benteng penahan ombak di Jalan Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus yang dilaporkan runtuh sekali lagi sehingga mencetuskan persoalan besar mengenai keupayaan syarikat yang mendapat tender projek tersebut.

Menurut laporan, syarikat yang bertanggungjawab melaksanakan projek terbabit adalah GPQ Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu.

Namun apa yang menjadi persoalan, pengerusi yang mengetuai syarikat tersebut adalah seorang Exco kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim.

Ia menimbulkan pertikaian bagaimana seorang Exco boleh memegang jawatan pengerusi dalam syarikat kerajaan negeri, ketika mereka sepatutnya menjadi pemantau dan penyemak untuk syarikat tersebut.

Ia juga secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan tentang konflik kepentingan, dan “siapa yang mengawal siapa dalam hal ini”.

Seorang aktivis politik Miqdad Zakaria berkata, Hishamuddin yang juga ADUN Pas Tepoh perlu menjelaskan tujuh persoalan mengenai anak syarikat kerajaan negeri dan ketelusan tender projek.

1. Konflik kepentingan

Bagaimana seorang Exco kerajaan negeri boleh menjadi pengerusi kepada anak syarikat kerajaan negeri (TI) yang sering mendapat projek rundingan terus? Adakah ini tidak menimbulkan konflik kepentingan yang jelas?

2. Integriti tadbir urus

Bukankah Exco sepatutnya berperanan mengawal dan menyemak syarikat milik kerajaan negeri, bukannya mengetuai dan mengurusnya sendiri? Siapa yang mengawal siapa dalam hal ini?

3. Proses rundingan terus

Apakah asas pemberian projek rundingan terus kepada TI? Adakah penilaian dibuat oleh jawatankuasa bebas, atau keputusan datang daripada pihak yang juga mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut?

4. Ketelusan dan akauntabiliti

Adakah kerajaan negeri pernah mendedahkan senarai projek yang diterima TI serta jumlah keseluruhan nilai kontrak? Mengapa maklumat ini tidak diumumkan kepada rakyat?

5. Kredibiliti kepimpinan

Bagaimana rakyat boleh yakin dengan prinsip tadbir urus yang telus, jika individu yang sepatutnya memastikan integriti kerajaan negeri juga mengetuai syarikat yang mendapat manfaat langsung daripada kerajaan itu sendiri?

6. Tanggungjawab moral dan politik

Jika benar TI banyak mendapat projek rundingan terus, adakah Exco tersebut bersedia untuk meletakkan jawatan daripada mana-mana satu peranan sama ada sebagai Exco atau sebagai pengerusi syarikat demi mengelak persepsi salah guna kuasa?

7. Soalan perbandingan

Kalau perkara seperti ini berlaku di peringkat kerajaan persekutuan, tidakkah kita sendiri akan membantah dan menuduh ia salah guna kuasa? Mengapa bila berlaku di peringkat negeri, semua diam?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan