Agensi
Tokyo: Polis di Tokyo menahan sepasang suami isteri atas dakwaan mengabaikan anak perempuan mereka sehingga tidak diberi makan dengan mencukupi, menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kekurangan zat makanan.
Memetik Japan Today, pihak polis memaklumkan, suami, 20-an dan isteri, 30-an, melakukan perbuatan itu ke atas anak perempuan mereka yang masih bersekolah rendah.
Kedua-duanya sebelum ini ditahan kerana disyaki menyerang dua lagi anak mereka yang berumur di bawah sekolah menengah rendah.
Media melaporkan, selain kekurangan zat makanan, polis menemui beberapa lebam dan kesan terbakar pada muka dan badan anak perempuan yang paling muda.
Kata pihak polis, lelaki itu mengaku terhadap dakwaan berkenaan, manakala ibu kanak-kanak terbabit sebahagiannya menafikan tuduhan dan mendakwa memberi bubur kepada anaknya sekali sehari.
"Pasangan itu disyaki mengehadkan makanan anak perempuan mereka dan tidak memberinya rawatan perubatan walaupun mengetahui kanak-kanak itu tidak dapat berjalan sendiri sejak pertengahan Julai," katanya.
Dalam pada itu, penderaan berkenaan dilaporkan kepada pusat kebajikan kanak-kanak selepas seorang pekerja penjagaan selepas sekolah melihat kanak-kanak itu dalam keadaan lemah pada awal Ogos.
Pasangan itu kemudian ditahan pada Oktober selepas pemeriksaan rumah mereka pada bulan sebelumnya menemui rakaman kamera keselamatan dan gambar telefon pintar yang menunjukkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak.
Difahamkan, pasangan itu juga bertindak kadangkala meninggalkan anak-anak tanpa pengawasan apabila keluar.
Dakwa mereka, terdapat kamera pengawasan dipasang untuk memantau anak-anak.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan