Isteri Tei buat laporan, dakwa pistol diacukan kepadanya

Malaysiakini 

Isteri kepada ahli perniagaan, Albert Tei membuat laporan polis berhubung serbuan SPRM di rumah mereka di Puchong, Selangor, hari ini.

Dalam laporan tersebut, Lee Pei Rie menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan Tei dan menggesa siasatan dijalankan terhadap tindakan beberapa anggota SPRM semasa serbuan itu.

“Saya membuat laporan ini kerana saya khuatir tentang keselamatan suami saya dan ingin memastikannya selamat sewaktu di dalam tahanan dan saya menuntut supaya kesemua anggota-anggota SPRM yang melakukan tindakan seperti diatas disiasat sepenuhnya,” katanya dalam laporan itu yang dilihat Malaysiakini.

Laporan itu, yang mengandungi butiran terperinci mengenai serbuan berkenaan, dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya malam ini.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Sepang Norhizam Bahaman – di mana Puchong adalah di bawah bidang kuasanya – mengesahkan bahawa polis telah menerima laporan tersebut dan sedang meneliti kes itu.

‘Seorang acukan pistol kepada saya’

Menurut laporan itu, Lee bergegas turun ke ruang tamu pada jam 10 pagi selepas menyedari sekumpulan individu menceroboh masuk ke rumah, dan melihat suaminya terbaring di lantai, dikelilingi pegawai SPRM yang bersenjata.

“Salah seorang daripada mereka sedar kehadiran saya dan kemudian mengacukan pistolnya kepada saya. Saya ketika itu sedang memegang telefon saya dan merakam insiden itu kerana saya khuatir akan keselamatan saya dan keluarga saya yang berada di rumah ketika insiden ini berlaku.

“Individu bersenjata yang mengacukan pistol kepada saya itu kemudian memaksa saya menyerahkan telefon saya kepadanya,” kata Lee lagi.

Lee mendakwa telefonnya diserahkan kepada seorang anggota lain, yang memaksanya membuka kunci telefon sebelum memadamkan rakaman video tersebut.

Lee mendakwa anggota itu kemudian mengarahkannya mengumpulkan semua individu lain dalam rumah di ruang tamu, kecuali seorang anak yang sakit. Mereka kemudian dipaksa membuka kunci semua telefon yang dijumpai oleh pegawai SPRM.

Anggota SPRM itu kemudian didakwa merampas dekoder CCTV rumah mereka dan meninggalkan rumah bersama Tei pada jam 10.50 pagi, sebelum kembali kira-kira 10 minit kemudian.

Kali ini, ahli keluarga Tei, termasuk Tei sendiri, dikumpulkan dalam sebuah bilik dan diarahkan untuk menetapkan telefon masing-masing ke mod “flight”, manakala router WiFi rumah ditutup.

Beberapa anggota turut didakwa dilihat mengimbas ruang tamu dengan sebuah alat elektronik.

“Kemudiannya, pada jam lebih kurang satu tengah hari, mereka membawa Albert (Tei) keluar dari rumah, tanpa memberitahu saya apa-apa atau memaklumkan kepada saya ke mana dia akan dibawa,” katanya lagi.

‘Tindakan keterlaluan’

Terdahulu, SPRM telah menahan tiga individu berhubung dakwaan rasuah melibatkan bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Md Akin.

Shamsul dan Tei ditahan secara berasingan hari ini, manakala Sofia Rini Buyong, yang didakwa menjadi proksi Shamsul, ditahan semalam.

Serbuan di rumah Tei itu dibidas sebagai “keterlaluan”, dengan bekas timbalan menteri undang-undang Hanipa Maidin menyamakan tindakan itu dengan penahanan pengganas tegar.

Peguam Tei, Zaid Malek, berkata anggota SPRM enggan menunjukkan kad kuasa atau memaklumkan lokasi Tei dibawa.

Lee juga memberitahu media bahawa pistol turut diacukan kepada Tei, manakala Tei menjerit yang enam pistol diacukan ke arah kepalanya ketika dia dibawa pergi. 

Namun, laporan polis Lee tidak menyebut sebarang dakwaan yang senjata api diacukan kepada Tei.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menyangkal dakwaan yang anggotanya mengacukan senjata ke kepala Tei semasa penahanan, dan berkata penahanan dibuat mengikut prosedur ditetapkan.

Satu laporan polis telah dibuat berhubung dakwaan terhadap anggota SPRM tersebut.

Azam turut berkata Tei pada mulanya dijangka hadir ke pejabat SPRM pada 1 Disember. Diakemudian dimaklumkan supaya hadir lebih awal, tetapi “enggan berbuat demikian dan tidak memberi kerjasama dengan siasatan SPRM”.

SPRM dijangka memohon perintah reman terhadap Tei dan Shamsul di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi esok.

Sofia kini berada dalam tahanan reman selama empat hari, iaitu sehingga 1 Disember.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan