Jual cap keselamatan palsu, 7 ditahan termasuk 3 wanita Vietnam

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tiga wanita Vietnam antara tujuh ditahan kerana disyaki mendalangi penjualan cap keselamatan palsu kepada warga asing.

Empat lagi yang ditahan ialah warga tempatan, termasuk seorang wanita dalam Op Serkap di sebuah rumah di Seri Kembangan, Serdang, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata sindiket itu menyasarkan warga Vietnam, Indonesia dan Thailand yang mahu menetap di Malaysia, dipercayai dengan bayaran RM2,500 hingga RM3,000 bagi satu dokumen.

“Mereka akan mendapatkan khidmat sindiket bagi memperoleh ‘endorsement’ dikendalikan suspek tanpa mengetahui ia palsu,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat dua suspek lelaki tempatan menaiki bas dari Terminal Bas Larkin di Johor menuju Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.

Susulan itu, katanya, sepasukan pegawai berjaya mengesan pergerakan dua suspek di sekitar TBS dan mengekori mereka, sebelum menahan dua lelaki itu ketika memasuki kediaman di sebuah taman di Seri Kembangan, yang disyaki menjadi lokasi persembunyian.

Menurutnya, tujuh suspek berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun itu kini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan