Kanak-kanak maut tercekik bebola boba, bapa salahkan kedai

Agensi

Beijing: Tragedi seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di China yang maut akibat tercekik bebola tapioka (boba) dalam teh susunya mencetuskan perdebatan hangat dalam talian mengenai tanggungjawab ibu bapa.

Memetik laporan South China Morning Post, bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Li menyiarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) sebuah taman permainan di dalam pusat beli-belah di wilayah Zhejiang pada 24 Oktober lalu.

Menerusi rakaman pada 19 Oktober itu, kanak-kanak lelaki terbabit dilihat meminum teh susu dibelikan ibunya sebelum bermain di atas trampolin.

Li berkata, anaknya pengsan seminit kemudian dan isterinya gagal menyedarkannya walaupun sudah berusaha sebelum mangsa ke hospital menaiki kereta ibu bapanya namun rawatan kecemasan gagal menyelamatkannya.

Punca kematiannya disahkan akibat bebola tapioka di dalam teh diminumnya.

Bebola yang bersaiz kira-kira 10 milimeter (mm) terlalu besar untuk saluran pernafasan kanak-kanak sekiranya tersalah telan selain teksturnya yang kenyal menyebabkan cubaan ibunya untuk menyelamatkannya gagal.

Li menyiarkan video itu dalam talian bagi menuntut kedai teh susu dan pihak pengurusan pusat beli-belah bertanggungjawab atas kematian anaknya.

Katanya, kakitangan kedai gagal memaparkan tanda amaran atau memberi peringatan bahawa bebola itu tidak sesuai untuk kanak-kanak kecil selain gagal menawarkan bantuan kecemasan.

Bagaimanapun, di media sosial, rata-rata netizen berpendapat ibu bapa mangsa yang sepatutnya dipertanggungjawabkan kerana membelikan minuman itu dan membiarkan anak mereka minum sambil bermain.

"Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa kanak-kanak tidak boleh makan bebola ubi kayu, jeli atau pulut. Mereka juga tidak boleh makan atau minum sambil bermain," kata seorang pengguna.

Teh boba pertama kali muncul di Taiwan sebelum menjadi tular di Hong Kong dan tanah besar China.

Pada 2018 dan 2019, minuman itu mencetuskan fenomena di Jepun. Perkataan yang merujuk kepada teh susu di Jepun, 'tapioka', malah menjadi perkataan popular di negara itu.

Pakar kesihatan menasihatkan bebola ubi kayu diminum secara perlahan kerana ia sukar dihadam, boleh tersekat di kerongkong dan menyebabkan tercekik walaupun kepada orang dewasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan