Kantoi semasa temubual FIFA dengan salah seorang pemain warisan timbulkan syak wasangka yang kuat

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Datuk saya lahir di Venezuela dan nenek saya di Sepanyol...maksud saya Malaysia, maaf."

Demikian pendedahan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dalam 'motivated decision' atau alasan bertulis penuh setebal 64 muka surat yang dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan badan induk dunia itu, awal pagi tadi.

Menurut FIFA, seorang daripada tujuh pemain yang didakwa memalsukan dokumen menimbulkan syak wasangka yang kuat bahawa wujud elemen pemalsuan.

Kata badan induk dunia itu, dalam satu temubual dilakukan bersama pemain berkenaan, tonggak terbabit pada awalnya mengaku datuk dan nenek berasal dari Venezuela dan Sepanyol.

Begitupun, dalam beberapa saat selepas itu pemain berkenaan memohon maaf dengan menukar kenyataan asal datuk dan nenek dari Malaysia.

"Berhubung 'Player 1', dia tidak dapat mengemukakan salinan dokumen yang diserahkan kepada ejennya ketika menghadiri satu jamuan bersama bapanya.

"Ini menyebabkan pemeriksaan hanya dapat dibuat terhadap (a) sijil kelahiran neneknya, Puan Maria Belen Concepcion Martin, lahir pada 16 Mei 1956 yang dikemukakan oleh FAM dalam siasatan kelayakan, (b) sijil kelahiran yang diperoleh oleh pihak pentadbiran FIFA, dan (c) sijil kelahiran yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia.

"Sehubungan itu, Jawatankuasa menganggap kenyataan 'Player 1' semasa sesi pendengaran sebagai sesuatu yang sangat penting.

"Dia pemain terakhir yang ditemu bual dan jawapan pertamanya ketika ditanya mengenai tempat kelahiran neneknya adalah "Sepanyol" tetapi kemudian membetulkan dirinya dan menyatakan "Malaysia".

"Kata-kata tepat dia ialah: "Datuk saya lahir di Venezuela dan nenek saya di Sepanyol… maksud saya Malaysia, maaf.", kata FIFA merujuk pada perenggan 145, 146 dan 147.

Pada 3 November lalu, hukuman yang dikenakan Jawatankuasa Tatatertib FIFA ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain Harimau Malaya tidak berubah.

Ia selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan yang dikemukakan FAM dan tujuh pemain terbabit berhubung kesalahan pemalsuan dokumen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan