Zuliaty Zulkiffli
am@hmero.com.my

ANGGOTA APM Kulim memasang khemah di PPS Masjid Al Muhtadin. FOTO Ihsan APM
Kulim: Satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kedah iaitu di daerah Kulim malam tadi susulan kejadian banjir yang melanda lima kampung, sejak petang semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, PPS Masjid Al Muhtadin dibuka jam 11.15 malam tadi.
Bagaimanapun, proses pemindahan mangsa masih berjalan dan setakat ini beberapa mangsa dari kampung yang terjejas berpindah ke PPS berkenaan.
"Banjir berlaku akibat hujan lebat berterusan sejak jam 6 petang semalam.
"Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Siam, Kampung Titi Tok Arus, Kampung Sarang Ayam, Kampung Padang Cina dan Kampung Paya Serdang yang kesemuanya di bawah Mukim Sungai Seluang.
"Jumlah sebenar mangsa di PPS itu masih dalam proses pendaftaran dan operasi menyelamat turut dibantu agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM)," katanya ketika dihubungi hari ini.
Amirul Aliff menasihatkan penduduk supaya berpindah dengan segera sekiranya rumah kediaman mereka dinaiki air.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan