Kedah: Ular sawa besar seperti anaconda atas siling

'Saiz ular sawa itu besar seperti anaconda' - APM
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
Ular sawa batik yang jatuh dari siling rumah penduduk di Taman Bandar Baru PKNK. FOTO IHSAN APM
Ular sawa batik yang jatuh dari siling rumah penduduk di Taman Bandar Baru PKNK. FOTO IHSAN APM
Sungai Petani: "Ketika ular sawa itu jatuh dari siling rumah, saya dan anggota lain masing-masing terkejut kerana tidak menyangka ular itu bersaiz besar seperti anaconda.

"Kami masing-masing melihat reptilia itu jatuh dan cuba mencari jalan untuk menangkapnya kerana tidak menyangka saiznya besar seperti itu," kata Sarjan Zaiton Mohamed Ali, 56.

Zaiton yang mengetuai operasi menangkap ular sawa di sebuah rumah di Taman Bandar Baru PKNK, di sini Rabu lalu sehingga tular di media sosial sejak semalam.

Katanya, sepanjang 18 tahun berkhidmat dalam Angkatan Pertahanan Awam (APM), ini adalah ular sawa kedua terbesar yang pernah ditangkapnya.

"Berdasarkan pengalaman dan ketua dalam operasi ini, saya mengarahkan anggota supaya menangkap ular sawa itu dengan berhati-hati kerana kita tak tahu keadaannya bimbang tertangkap bahagian kepalanya.

"Kami pernah terima panggilan di rumah penghuni yang sama kira-kira tiga bulan lalu tetapi apabila sampai, ular itu tiada malah kami menjangkakan ia sudah turun dari siling rumah berkenaan.

"Tapi masa operasi Rabu lalu, ular sawa itu akhirnya berjaya ditangkap dan saya menarik bahagian badannya manakala anggota lain masing-masing menarik ekor dan menunggu untuk menangkapnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zaiton yang juga nenek kepada dua cucu itu berkata, kejadian itu disedari pemilik rumah itu ketika hendak memasuki bilik air rumah berkenaan dan mengesyaki sesuatu mencurigakan apabila pintu tidak dapat ditolak.

Katanya, ketika menolak pintu, sekeping daripada siling rumah itu pecah dan ketika itulah dia ternampak seperti kain batik dan mengesyaki sesuatu dan menghubungi APM kira-kira jam 4 petang.

"Sebaik kami sampai, kami cuba tolak pintu tetapi tak boleh dan kemudian tarik siling besar tu sebelum ular sawa tu jatuh.

"Ular sawa tu tak panjang mana cuma dalam tiga meter tapi saiz badannya besar kemungkinan dalam 60 kilogram (kg) nampak ia seperti anaconda dan ketika jatuh, bunyinya sangat kuat," katanya.

Zaiton berkata, ular sawa itu juga sangat agresif ketika jatuh ke lantai dan masuk di celah mesin basuh.

"Kepala dia masuk di celah mesin basuh itu dan bayangkan mesin basuh yang berat itu berjaya ditolak hingga bergerak.

"Cabaran kami hendak menangkapnya agak sukar kerana saiznya yang besar dan berat tetapi syukur akhirnya berjaya juga ditangkap," katanya.

Zaiton berkata, sepanjang berkhidmat dalam APM, dia sudah lali menangkap ular termasuklah ular tedung selar, tedung senduk dan ular sawa.

Katanya, baginya dia sudah tidak geli tetapi perasaan takut juga tetap ada cuma berdasarkan pengalaman, dia tetap melakukan tugas itu demi membantu masyarakat.

"Ular sawa itu kemudian dibawa pulang ke pejabat APM Kuala Muda untuk ditempatkan sementara di situ," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan