Kelantan: Lelaki Malaysia ditahan di Bangkok, perdaya warga emas 3.3 juta baht

Sharifah Mahsinah Abdullah
Lelaki warga Malaysia ditahan polis Thailand di Bangkok selepas menyamar pegawai kerajaan untuk menipu warga emas menyebabkan mangsa kerugian 3.3 juta baht (RM426,000). – Foto Polis Thailand
KOTA BHARU: Seorang lelaki warga Malaysia ditahan polis Thailand di Bangkok Khamis lalu, selepas menyamar sebagai pegawai kerajaan untuk menipu warga emas melalui panggilan telefon.

Ia menyebabkan mangsa kerugian 3.3 juta baht (RM426,000).

Jurucakap polis Thailand berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Soi Soranakorn 3 di daerah Don Mueang.

Katanya, anggota dari Balai Polis Don Mueang dan Thung Khru menahan suspek yang dikenal pasti sebagai Tan, selepas waran tangkap dikeluarkan mahkamah atas kesalahan penipuan dan penyamaran.

“Polis turut merampas beberapa barangan daripada suspek, termasuk pakaian dipercayai dipakai semasa melakukan jenayah, sebuah beg galas hitam, dua telefon bimbit, beberapa kad SIM dan tiga kad debit asing,” katanya.

Penahanan susulan laporan dibuat mangsa, 70, yang mendakwa menerima panggilan daripada seseorang yang mengaku sebagai pegawai polis.

“Pemanggil itu mendakwa akaun bank mangsa terbabit kegiatan akaun keldai dan aktiviti pengubahan wang haram.

“Penipu mengarahkan mangsa menambah akaun LINE dengan nama ‘Por Pom’, yang kononnya merupakan pegawai dari Balai Polis Mueang Khon Kaen.

“Suspek kemudian menghantar mesej, dokumen palsu dan membuat panggilan video untuk membincangkan harta mangsa serta mengarahkannya supaya menyediakan aset untuk ‘pemeriksaan’.

“Percaya panggilan itu sahih, mangsa mengeluarkan wang tunai, menjual barangan peribadi dan mendapatkan sejumlah 3.3 juta baht (RM426,000),” kata jurucakap itu.

Mangsa diarah menyerahkan wang di sebuah stesen minyak di Jalan Pracha Uthit, daerah Thung Khru, berhampiran balai polis tempatan.

“Suspek warga Malaysia itu kemudian datang untuk mengambil wang tersebut.

“Dia mendakwa dirinya sebagai pegawai kerajaan yang menjalankan pemeriksaan dan meyakinkan mangsa bahawa wang itu akan dipulangkan selepas pengesahan dilakukan, sebelum melarikan diri,” katanya memaklumkan mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan