Hazira Ahmad Zaidi

Keadaan kereta Perodua Kelisa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4.4 Jalan Machang–Pasir Puteh berhampiran Stesen Minyak Petronas Sungai Emas, di sini, petang tadi. FOTO Ihsan Polis
MACHANG: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan kereta di Kilometer 4.4 Jalan Machang-Pasir Puteh berhampiran Stesen Minyak Petronas Sungai Emas, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, dalam kejadian jam 4.25 petang itu, motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang seorang lelaki dari arah Pasir Puteh menuju ke Machang dipercayai merempuh Perodua Kelisa yang keluar dari simpang di sebelah kiri untuk memasuki simpang kanan jalan berkenaan.
Katanya, Perodua Kelisa yang dipandu lelaki warga emas cuba melintasi jalan ketika motosikal berkenaan melalui laluan lurus menyebabkan penunggang tidak sempat mengelak.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal dan pemandu kereta mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.
Orang awam yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Fatin Nurhanis Ibrahim di talian 011-19454020 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, 09-9751222.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan