FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang kelindan lori dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya di kebun pisang tahun lalu
Sinar Harian melaporkan tertuduh berusia 47 tahun membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Surita Budin yang turut mengarahkannya menjalani kaunseling dan pengawasan polis selama setahun selepas selesai hukuman.
Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun empat bulan dengan memeluk mangsa dan menunjukkan kemaluan kepadanya di kawasan kebun pisang Kampung Stesen 3 di Nilai kira-kira 12.30 tengah hari pada Mei 2024.
Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.
Tertuduh juga didakwa di bawah Seksyen 15(a)(i) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum dan berjanji tidak akan mengulanginya, selain memberi alasan bekerja sebagai kelindan lori, sudah berkahwin dan menanggung lima anak.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memohon hukuman setimpal mengambil kira mangsa masih muda dan tertuduh selaku bapa saudaranya patut melindungi mangsa, selain mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam berbanding peribadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan