Ketika Shafie Apdal bertungkus-lumus, orang kanannya menangis dipenjara 6 tahun

Harapandaily

‘Orang kanan’ Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menangis teresak-esak apabila dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM8.8 juta berkaitan kes tender perkhidmatan pengiklanan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada 2018.

Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham yang merupakan bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi didapati bersalah terhadap lapan tuduhan menerima rasuah RM1.77 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin mengenakan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal mematahkan anggapan Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas imbangan kebarangkalian.

Saifullah, 34, yang pernah dilantik sebagai Timbalan Wira Warisan Semporna itu turut diperintah untuk dipenjara tujuh tahun jika gagal membayar jumlah denda terbabit.

“Saya harap hukuman ini dapat menginsafkan kamu dan mengelakkan kamu daripada melakukan kesalahan pada masa akan datang.

“Kamu masih muda dan harap kamu akan insaf dan berubah kepada yang lebih baik,” kata Suzana, dipetik BH.

Saifullah didapati bersalah menerima suapan berjumlah RM1,765,000 daripada pemilik syarikat Inter Bev Network Sdn Bhd, Ronald Seto Kong Seng melalui Roslan Lahada sebagai dorongan untuk tertuduh berjanji mendapatkan tender “Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan (Brand) dan Kreatif (Creative).

Ia bagi kempen pengiklanan Tourism Malaysia kepada syarikat Inter Bev Network dan tender ‘Cadangan Promosi dan Pengiklanan Digital Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 secara rundingan terus kepada syarikat Plan B Digital Sdn Bhd.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa tempat antaranya di Red Box Karaoke dan Coffee Bean di pusat beli-belah Pavillion, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC); di pejabat setiausaha sulit kanan kepada menteri, di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; di Vipod Residences dan PETRONAS Dengkil antara jam 11 pagi hingga 11.30 malam, pada 21 Disember 2018 hingga 1 Mac 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Untuk rekod, dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), Warisan bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan Shafie Apdal akan mempertahankan kerusi DUN Senallang.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah dari 12 Mei 2018 hingga 25 September 2020.

Dia turut pernah dilantik sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dari April 2009 hingga Julai 2015 dengan mengurus berbilion peruntukan sepanjang tempoh itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan