Lelaki dalam video tak senonoh bukan Imam Masjid Paroi Jaya

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video yang tersebar mendakwa pembabitan Imam Masjid Kariah Paroi Jaya dirakam melakukan perkara tidak senonoh di dalam sebuah kereta. FOTO Ihsan Pembaca.
TANGKAP layar video yang tersebar mendakwa pembabitan Imam Masjid Kariah Paroi Jaya dirakam melakukan perkara tidak senonoh di dalam sebuah kereta. FOTO Ihsan Pembaca.
Seremban: Jawatankuasa Masjid Kariah Paroi Jaya menafikan pembabitan imam masjid berkenaan dalam satu video yang tersebar memaparkan dua lelaki melakukan perkara tidak senonoh di dalam sebuah kereta.

Setiausahanya, Muhammad Faiz Abdul Rahim berkata, dakwaan kejadian itu hanya fitnah semata-mata yang boleh menjejaskan institusi masjid dan agama.

"Saya mendapat satu video daripada seorang kenalan dengan dakwaan Imam Masjid Paroi Jaya adalah lelaki yang berada di dalam kereta itu.

"Kami segera melakukan siasatan di peringkat jawatankuasa dan jemaah.

"Selepas meneliti kami mendapati imam masjid kami tidak terbabit.

"Malah jenis kenderaan dan nombor pendaftarannya seperti yang terpapar pada video juga tidak dikenali," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, terdahulu pihaknya juga kecoh mengenai video berkenaan yang mengatakan ia dilakukan penjawat awam di negeri ini berdasarkan logo yang ada pada baju.

"Bagaimanapun, kami terkejut apabila ada yang menokok tambah dengan mengatakan imam kami melakukan perkara tidak senonoh ini.

"Ia jelas menjejas nama Islam dan institusi masjid," katanya.

Justeru katanya, pihaknya meminta pihak berkuasa supaya mengambil tindakan berhubung penyebaran video berkenaan.

"Kami akan membuat satu laporan polis untuk bersihkan nama masjid. Kami juga mahu pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyemak individu yang bertanggungjawab," katanya.

Terdahulu tersebar satu rakaman berdurasi 42 saat memaparkan perakam mengetuk cermin sebuah kereta yang didalamnya terdapat dua lelaki dipercayai sedang melakukan perkara yang tidak senonoh.

Dua lelaki berkenaan dilihat terkejut dan menutup muka masing-masing sebelum mengundurkan kenderaan lalu beredar dari kawasan parkir yang tidak dapat dipastikan lokasinya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd Asri Abdullah berkata, pihaknya belum mendapat laporan mengenai perkara itu, namun difahamkan ia kini dalam siasatan polis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan