Lelaki putus ibu jari, ibu cedera pergaduhan dengan pembantu rumah

Asrol Awang
am@hmetro.com.my

Kuantan: Dua beranak cedera, dengan seorang daripadanya putus ibu jari tangan kiri dalam pergaduhan dengan pembantu rumah warga asing menggunakan pisau pemotong daging di sebuah rumah di KotaSAS di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata dua mangsa berkenaan ialah wanita berusia 57 tahun yang juga majikan bersama anak lelakinya berusia 28 tahun.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, ketika kejadian, wanita yang berada di dalam bilik tidur di tingkat atas rumah terdengar jeritan anak lelakinya di tingkat bawah rumah kira-kira 8.30 pagi.

"Ketika turun tangga, mangsa mendapati anaknya sedang bergelut dengan pembantu rumah di ruang tamu rumah dan terus ke arah suspek untuk meleraikan pergaduhan itu.

"Bagaimanapun, suspek bertindak melibas pisau dan terkena kepala mangsa sebelum berjaya merampas pisau yang digunakan suspek.

"Suspek kemudian berlari ke dapur dan ingin mengambil pisau lain tetapi dua beranak itu menghalang suspek serta berlaku pergelutan di ruang dapur.

"Ketika pergelutan, wanita itu mengambil semua pisau yang ada di ruang dapur dan mencampakkannya di luar melalui tingkap dapur sebelum menghubungi Mers 999 untuk mendapatkan bantuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat pergaduhan itu, wanita berkenaan mengalami luka di kepala dan ibu jari tangan kiri manakala anak lelakinya putus ibu jari tangan kiri, luka di kepala dan kaki.

Katanya, suspek wanita yang berusia 44 tahun mengalami kesan kelar di pergelangan tangan kiri kerana cubaan membunuh diri.

"Dalam kes ini, kita turut merampas enam bilah pisau dan sebilah gunting.

"Siasatan awal mendapati punca pergaduhan dipercayai suspek mengalami tekanan bekerja dengan wanita itu tetapi siasatan lanjut masih diteruskan.

"Difahamkan, suspek ada memaklumkan kepada ejen dia berada dalam tekanan kerana tempat kejadian adalah rumah yang besar berbanding rumah wanita itu terdahulu.

"Suspek sudah bekerja selama 10 bulan dan hanya wanita itu dan suspek yang tinggal di rumah itu tetapi ketika kejadian, terdapat tiga individu termasuk anak wanita itu.

"Ketiga-tiga mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini," katanya.

Ashari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan