Lelaki rambut perang rakam wanita dalam tandas diburu

NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI
Tangkap layar klip video seorang lelaki melarikan diri selepas disyaki mengintai seorang wanita di dalam tandas sebuah pusat membeli-belah di Kuala Terengganu kelmarin.
KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki sedang diburu polis kerana disyaki menceroboh tandas untuk mengintai seorang wanita di sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini kelmarin.

Perbuatan itu dipercayai berlaku pada 6.12 petang di tandas wanita yang terdapat di tingkat satu pusat beli-belah tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang merupakan seorang jurujual wanita ternampak sebuah telefon bimbit sedang merakam dari celahan pintu tandas yang sedang digunakannya.

“Mangsa segera keluar dari tandas itu sebelum ternampak lelaki tidak dikenali yang memegang telefon bimbit berkenaan.

“Dia sempat mengejar dan merakam visual dari arah belakang sewaktu lelaki tersebut bergegas melarikan diri,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pusat membeli-belah tersebut mengesahkan suspek telah melarikan diri keluar mengguna pintu utama premis terbabit sebelum menghala ke arah Dataran Shahbandar, di sini.

Beliau berkata, sewaktu kejadian, suspek yang dipercayai berusia awal 20-an memakai baju T berwarna putih dan berseluar jean gelap, memakai beg silang berambut perang. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan