Lombong emas haram di Temerloh diserbu, enam lelaki ditahan

Fazli Ahmad
Pelbagai alatan dan jentera digunakan untuk kegiatan melombong emas secara haram, bernilai lebih RM1.1 juta, dirampas di Kampung Bolok, Temerloh – FOTO IHSAN PGA BRIGED TENGGARA
KUANTAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menahan enam lelaki termasuk lima warga Indonesia dalam serbuan di kawasan lombong emas haram di Kampung Bolok, Temerloh, kelmarin.

Komandernya, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain, berkata serbuan menerusi Op Bersepadu Khazanah kira-kira jam lapan pagi itu, PGA turut merampas pelbagai alatan digunakan untuk aktiviti melombong dan jentera bernilai lebih RM1.1 juta.

Menurutnya, serbuan dilakukan bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) hasil risikan dilakukan dua agensi terbabit.

Beliau turut memaklumkan, ketika pasukan serbuan tiba di lokasi, didapati pintu utama lombong itu berkunci.

“Anggota PGA memanggil beberapa individu di kawasan itu dan mengarahkan mereka membuka pintu.

“Bagaimanapun mereka cuba melarikan diri tetapi semua ditahan anggota PGA mengepung kawasan terbabit.

“Antara alatan dirampas di lombong itu ialah jengkaut, lori, palong, pam air, kuali mendulang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Ahmad Radzi berkata, seorang lelaki berusia 35 tahun berasal dari Mentakab, Temerloh, ditahan dalam serbuan itu dipercayai pengusaha lombong haram terbabit, manakala lima warga Indonesia berusia antara 25 dan 38 tahun adalah pekerja.

Menurutnya, semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001 Pahang, dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM500,000, atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, lelaki tempatan terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin.

Sabit kesalahan boleh dipenjara setahun dan denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali.

Lima warga Indonesia yang ditahan turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada permit kerja sah. Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan