Polemik dalaman parti: Surat kepada Muhyiddin dedah pendirian 16 Ahli Parlimen BERSATU

Fahmy A Rosli
Salinan surat kepada Muhyiddin bertarikh 23 Oktober lalu yang dilihat oleh BH.
Salinan surat kepada Muhyiddin bertarikh 23 Oktober lalu yang dilihat oleh BH.
Kuala Lumpur: Seramai 16 Ahli Parlimen BERSATU menandatangani sepucuk surat yang diserahkan kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi menyatakan kebimbangan serius mereka terhadap polemik dalaman yang sedang melanda parti itu.

Melalui surat bertarikh 23 Oktober lalu itu, mereka turut menegaskan pendirian bahawa pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dan penggantungan keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama satu penggal, sebagai langkah tidak bijak.

Mereka menyifatkan hukuman itu tidak kena pada masanya, sekali gus dilihat boleh mengganggu momentum sokongan rakyat terhadap pembentangan Gagasan Belanjawan Perikatan Nasional (PN) oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Malah, mereka tidak bersetuju dengan keputusan parti untuk memanggil Hamzah yang juga Timbalan Presiden BERSATU, ke Lembaga Disiplin, sekali gus menyifatkan tindakan itu sebagai tidak masuk akal.

Bercakap kepada BH, bekas Pengerusi PN Pahang itu juga mengesahkan Muhyiddin sudah membaca surat berkenaan dan memberikan maklum balas.

Saifuddin berkata, Muhyiddin memaklumkan keputusan dibuat Lembaga Disiplin BERSATU itu adalah mengikut Perlembagaan parti dan beliau tidak pernah sesekali masuk campur.

"Saya kata surat itu mengenai Ahli Parlimen BERSATU menyampaikan luahan kebimbangan mereka, bukannya membuat rayuan bagi pihak tiga Ahli Parlimen itu (Hamzah, Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal)

"Saya juga maklumkan kepada Ahli Parlimen berkenaan mengenai jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan saya kata jangan buat apa-apa lagi.

"Seramai 16 Ahli Parlimen bersolidariti dengan tiga Ahli Parlimen yang terkait Lembaga Disiplin. Jadi (jumlahnya) 19 Ahli Parlimen.

"Kami tidak membabitkan dua Ahli Parlimen lain berjawatan Naib Presiden parti. Jadi, jumlahnya mungkin lebih 19 daripada 25 Ahli Parlimen," katanya.

Berdasarkan salinan dokumen terbabit yang dilihat BH, mereka yang turut menandatangani surat bertajuk 'Kebimbangan Serius Ahli-Ahli Parlimen Terhadap Polemik Dalaman BERSATU' itu ialah Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor, dan Muhammad Islahuddin Abas (Mersing).

Seterusnya, Fathul Huzir Ayob (Gerik); Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu); Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin); dan Nordin Ahmad Ismail (Lumut).

Selain itu, Zakri Hassan (Kangar); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar); Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah); Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu); Azahari Hasan (Padang Rengas); Kalam Salan (Sabak Bernam); dan Mohd Nazri Abu Hassan (Merbok).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan