Polis giat buru Namewee

Hmetro

Kuala Lumpur: Polis Kuala Lumpur kini sedang giat memburu penyanyi rap tempatan Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, berhubung kes kematian seorang aktivis media sosial wanita warga Taiwan.

Namewee, 42, dipercayai menghilangkan diri selepas kes penemuan mayat wanita terbabit diklasifikasikan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata pihaknya yakin Namewee sudah mengetahui laporan siasatan kes berkenaan dan pencariannya menerusi laporan media rasmi dan media sosial.

"Setakat ini kami masih tidak dapat lagi mengesannya dan percaya dia sudah menghilangkan diri.

"Sebelum ini, kes kematian wanita berkenaan diklasifikasikan sebagai Kematian Mengejut (SDR), namun apabila diklasifikasikan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dia dipercayai menghilangkan diri," katanya kepada BH hari ini.

Untuk rekod, kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan akan mewajibkan pihak polis melakukan tangkapan ke atas individu yang disyaki dengan kes berkenaan.

Setakat ini, Namewee adalah individu terakhir yang berada bersama aktivis media sosial, Hsien Yun Hsin, 31, semasa mayatnya ditemui dalam sebuah bilik di Jalan Conlay, di sini, pada jam 1.40 petang, 22 Oktober lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan