Siti Nurhaliza, KJ berpotensi menang jika bertanding untuk jawatan Datuk Bandar KL

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menegaskan betapa tempoh khidmat Datuk Bandar Kuala Lumpur perlu lebih terjamin dan ini terletak pada pilihan raya tempatan (PBT) dengan diberi mandat selama lima tahun.

Pemimpin DAP itu berkata, dia yakin personaliti seperti bekas menteri Khairy Jamaluddin dan Siti Nurhaliza Tarudin mempunyai peluang besar untuk menang jika bertanding sebagai calon Datuk Bandar.

“Jika prestasi mereka baik dan diterima penduduk Kuala Lumpur, sudah tentu mereka akan menang dalam pilihan raya seterusnya.

“Bantahan kuat terhadap pilihan raya PBT sering menggunakan alasan sentimen perkauman, namun bantahan ini tidak berasas. Apakah yang mereka takuti? Seperti dinyatakan YB Nik (Nik Nazmi Nik Ahmad), hampir separuh penduduk Kuala Lumpur adalah Bumiputera.

“Saya yakin personaliti seperti Khairy atau Siti Nurhaliza mempunyai peluang besar untuk menang jika bertanding sebagai calon Datuk Bandar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Lim berkata demikian sebagai mengulas menyokong kenyataan Nik Nazmi yang juga ahli Parlimen Setiawangsa yang membangkitkan semula seruan reformasi pentadbiran ibu kota selepas penamatan khidmat Maimunah Mohd Sharif sebagai Datuk Bandar.

Terdahulu Nik Nazmi juga berkata penyertaan awam dalam pentadbiran Kuala Lumpur perlu ditingkatkan.

Dia mempersoal mengapa tempoh khidmat Maimunah dipendekkan sedangkan tempoh asalnya ditetapkan sehingga Ogos 2026.

Lim berkata, sistem pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur semasa yang tidak telus dan bercanggah dengan prinsip akauntabiliti dan tadbir urus baik yang diwar-warkan kerajaan Madani.

Katanya, ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur sendiri hanya mengetahui pelantikan ini melalui media, sama seperti rakyat biasa.

“Dalam tempoh 10 tahun, kita telah menyaksikan enam orang Datuk Bandar yang berkhidmat dalam tempoh berbeza, ada dua orang yang cuma setahun lebih.

Persoalan penting yang perlu kita tanya: Apakah perubahan drastik dan penambahbaikan dapat dicapai dalam tempoh yang begitu singkat?” soalnya.

Dakwanya, seorang bekas Datuk Bandar pernah memberitahunya, dia baru benar-benar menyesuaikan diri selepas setahun memegang jawatan, namun terpaksa bersara pada tahun kedua.

“Jika kita bandingkan Kuala Lumpur 10 tahun dahulu dan sekarang - dari aspek kebersihan, kesesakan lalu lintas, infrastruktur, ekonomi dan keadaan kehidupan - adakah kita berada dalam keadaan yang lebih baik? Jawapannya tidak.

“Ini berpunca daripada pertukaran Datuk Bandar yang terlalu kerap. Kuala Lumpur tukar Datuk Bandar seperti tukar baju!

“Setiap kali pertukaran berlaku, pasti wujud dasar baru. Ibu negara Malaysia memerlukan hala tuju yang jelas dan lestari, bukan yang berbeza setiap dua tahun,” katanya.

Justeru dia berkata, Kuala Lumpur memerlukan satu sistem kepimpinan ibu kota yang stabil dan demokratik.

“Pemulihan pilihan raya PBT adalah langkah terakhir untuk memutuskan kitaran pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang tidak sihat ini dan mengembalikan kuasa menentukan hala tuju Kuala Lumpur kepada mereka yang paling berhak – iaitu warga Kuala Lumpur sendiri,” tambah Lim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan