B Nantha Kumar
Isteri ahli perniagaan Albert Tei mendakwa terdapat pegawai SPRM mengacukan pistol ke arah suaminya sebelum menggari ahli perniagaan itu.
“Lepas (mereka) masuk, Albert Tei sudah turun.
“Mereka bawa dia tepi suruh baring, gari dia. Saya turun dari tangga.
“Mereka pun ambil pistol, tunjuk atas kepala, tapi ada jarak sikitlah,” dakwanya yang dikenali sebagai Lee ketika ditemui Malaysiakini di kediamannya di Puchong, Selangor.
Sebaik sahaja pegawai-pegawai itu selesai berurusan dengan Tei, Lee mendakwa ahli keluarganya yang lain diarahkan untuk berkumpul di satu tempat.
Dia mendakwa pegawai-pegawai itu merampas telefon bimbit mereka dipercayai untuk memadam video dan gambar daripada peranti tersebut.
“Mereka ambil semua telefon… semua video pun mereka delete… tetapi saya tak tahu apa yang telah mereka delete, saya belum check lagi,” tambah Lee.
Lee mendakwa pegawai-pegawai itu turut memeriksa seluruh rumahnya termasuk di sebalik langksir kerana khuatir ada kamera disembunyikan.
“Mereka takut ada kamera ke apa,” katanya.
Rumah diserbu
Terdahulu, pegawai SPRM dengan kelengkapan taktikal penuh – termasuk jaket kalis peluru dan balaklava – menyerbu rumah Tei dan membawanya masuk ke sebuah kereta sedan berwarna hitam.
Peguamnya, Zaid Malek, yang merakam video tersebut, kedengaran berulang kali bertanya kepada pegawai-pegawai itu ke mana mereka membawa Tei dan meminta bercakap dengan pegawai yang bertanggungjawab, namun tidak diendahkan.
Tei – yang merupakan watak utama dalam beberapa dakwaan rasuah melibatkan ahli politik terkenal di Sabah– dilihat mengangkat tangan ke arah kamera sambil melaungkan “lawan tetap lawan” sebelum dimasukkan ke kereta.
Bagaimanapun pegawai-pegawai itu kembali ke rumah Tei dalam beberapa minit selepas itu, sebelum membawanya pergi sekali lagi.
Seakan-akan penculikan
Ketika ditemui Malaysiakini di rumah Tei, Zaid berkata pegawai SPRM berkenaan membawa pergi Tei sekali lagi pada jam 12.50 tengah hari, tanpa memaklumkan ke mana dia dibawa.
Menyamakan tindakan itu dengan perbuatan penculikan, Zaid mengecam pegawai-pegawai terbabit kerana berkelakuan seolah-olah “undang-undang tidak wujud di negara ini”.
“Tiada seorang pun pegawai SPRM atau polis menunjukkan kad kuasa kepada saya.
“Saya berulang kali bertanya ke mana (Tei) dibawa, dan tiada seorang pun pegawai memaklumkan saya (butirannya),” katanya.
Dia mengesahkan bahawa walaupun Tei telah diberikan waran geledah, dokumen itu dihantar daripada “nombor tidak dikenali yang mendakwa dirinya pegawai SPRM” yang didakwa gagal memperkenalkan diri.
Tei sebelum ini mendedahkan dirinya memberikan wang kepada ahli politik di Sabag untuk mendapatkan lesen cari gali mineral, namun akhirnya dia tidak memperoleh lesen tersebut.
Terbaru dia mendakwa telah membelanjakan RM629,000 untuk bekas setiausaha politik perdana menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang didakwanya telah memberi jaminan akan mendapatkan semula yang telah disalurkan kepada ahli politik terbabit.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan