Tiga penagih tegar didakwa lima pertuduhan merompak warga asing

Malinda Abdul Malik
IMG_1749-681x479
Kesemua tertuduh tidak mengaku bersalah atas semua pertuduhan merompak yang dibacakan terhadap mereka secara berasing di Mahkamah Sesyen Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.
BALIK PULAU – Tiga penagih tegar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas lima pertuduhan melakukan rompakan terhadap beberapa pekerja warga asing di sekitar Bayan Baru dan Bayan Lepas.

Ketiga-tiga tertuduh, Muhammad Juhairi Akmal Saripuzaini, 25; Muhammad Akmal Kamal Khan, 34; dan Mohamad Fazli Mohd, 31 tahun masing-masing mengaku tidak bersalah selepas setiap pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Dalam pertuduhan pertama, Muhammad Akmal dan Mohamad Fazli didakwa merompak secara berkumpulan menggunakan pisau terhadap seorang warga Bangladesh, Mehedi Hasam, dengan mengambil wang tunai RM120, pasport, serta buku keselamatan pekerja di Jalan Halaman Mahsuri, Bayan Baru kira-kira jam 10.30 pagi pada 30 Oktober.

Pertuduhan kedua pula, Muhammad Juhairi dan Mohamad Fazli didakwa merampas sebuah telefon bimbit Oppo 3X milik Ullah Zahid dalam kejadian di Jalan Mahsuri 10 sekitar jam 7 pagi pada 31 Oktober.

Bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua mereka sekali lagi dituduh melakukan rompakan berkumpulan menggunakan pisau dan ‘fork lock’ dengan melarikan wang tunai RM250, telefon Realme, kad bank dan kad pengenalan negara asal milik warga Bangladesh, Tai Md Hatam, pada 21 Oktober sekitar jam 5.30 pagi.

Sementara itu, semua tertuduh berdepan pertuduhan keempat kerana didakwa merompak wang tunai RM550 serta telefon Oppo milik Salim Mohammed pada jam 2.30 petang, 17 Ogos, di Jalan Lintang Mahsuri, Bayan Baru.

Kesemua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.
Dalam pertuduhan kelima, mereka sekali lagi didakwa bertindak bersama-sama merompak wang tunai RM350, kad pekerja, kunci rumah serta salinan pasport dan permit milik mangsa, Mohammed Motaleb, pada jam 6 pagi, 23 Oktober, juga di kawasan Jalan Mahsuri, Bayan Baru.

Pendakwaan bagi tiga pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dua pertuduhan terakhir pula dikemukakan mengikut Seksyen 395 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman sama.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Lim Jin Hong memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan berikutan kesalahan tersebut tergolong dalam kategori tidak boleh dijamin.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Disemberdepan sebagai tarikh lantikan peguam serta serahan dokumen. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan