FMT Reporters
PETALING JAYA: Tiga menteri dijadual akan mengangkat sumpah untuk penggal kedua sebagai senator esok, membolehkan mereka meneruskan tugas dalam Jemaah Menteri.
Berdasarkan aturan urusan mesyuarat bagi persidangan Dewan Negara esok, satu majlis angkat sumpah akan diadakan pada permulaan sidang, namun ia tidak mendedahkan nama individu yang terlibat.
Menurut laporan The Star yang memetik sumber, senator yang akan mengangkat sumpah itu ialah Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir dan Menteri Hal Ehwal Agama Na’im Mokhtar.
Mereka mengangkat sumpah untuk penggal pertama pada Dis 2022, manakala Tengku Zafrul Aziz yang kini bekas menteri pelaburan, perdagangan dan industri pula mengangkat sumpah untuk penggal kedua pada ketika itu.
Ketika ini, Jemaah Menteri mempunyai tiga kekosongan susulan peletakan jawatan menteri ekonomi Rafizi Ramli dan menteri sumber asli serta kelestarian alam sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad pada Mei, serta menteri pembangunan usahawan dan koperasi Ewon Benedick bulan lalu.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan kini mengambil alih portfolio ekonomi buat sementara waktu, manakala Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani menggalas portfolio sumber asli dan kelestarian alam sekitar.
Portfolio yang sebelum ini disandang Ewon kini diuruskan oleh Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan