Banjir Hulu Langat: Jalan ‘bertukar’ jadi sungai

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Jalan utama di Kampung Sungai Seri, Hulu Langat ditenggelami banjir susulan hujan sejak awal pagi – FOTO NSTP
HULU LANGAT: Beberapa kawasan di sekitar Kampung Sungai Serai di sini, lumpuh apabila jalan utama dianggarkan sejauh satu kilometer (KM) bertukar menjadi sungai susulan banjir di sini, awal pagi hari ini.

Tinjauan wartawan di lokasi mendapati, air masih tinggi di perkampungan itu dianggarkan sedalam satu meter (m) di sesetengah kawasan.

Laluan terjejas ditutup oleh pihak polis dan hanya jentera berat sahaja dibenarkan melalui kawasan itu.

Sebilangan kecil penduduk dilihat kekal di rumah atau kedai masing-masing yang terletak di sepanjang jalan berkenaan.

Walaupun kediaman dan kedai mereka ditenggelami air, rata-rata penduduk dilihat tenang menghadapi musibah itu, mungkin sudah terbiasa berikutan kawasan berkenaan sering dinaiki air.

Hanya kenderaan berat Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mampu meredah banjir.

Penduduk kampung yang terperangkap dibawa keluar menggunakan jentera APM, JBPM dan lori milik Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) turut dilihat membawa orang awam.

Mangsa, Farouk Jelani, 73, berkata dia bersama isteri dan seorang cucu diarahkan berpindah kira-kira jam 10 pagi hari ini.

“Hujan dari awal pagi tadi, saya tak pasti jam berapa sebab saya tak sihat jadi banyak tidur sahaja.

“Kalau saya berdaya, saya mahu tolong mangsa banjir ini, tetapi sakit, jadi bila pihak berkuasa arahkan pindah kita ikut sahaja.

“Saya dah duduk sini lebih 30 tahun, dan seingat saya ini kali kedua kami kena pindah, sebelum ini air kerap naik tapi tak perlu pindah,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Sungai Seri, di sini, hari ini.

Seorang lagi mangsa, Wan Muhammad Hidayat, 30, terpaksa meminta bantuan APM bagi menjemput anaknya di sekolah tadika selepas dimaklumkan oleh guru bahawa kawasan sekitar dinaiki air.

“Pagi tadi semasa hantar anak, jalan masih boleh dilalui tetapi dalam pukul 9 tadi cikgu telefon minta ambil anak saya.

“Saya dan isteri cuba menaiki kenderaan pacuan empat roda tetapi tidak lepas, mujur ada lori APM tumpangkan kami,” katanya.

Jurutera perisian komputer itu berkata, sejak menetap di kawasan itu empat tahun lalu laluan masuk ke kediaman sering dinaiki air walaupun hujan tidak begitu lebat.

Justeru dia berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir berkenaan.

“Minggu ini sahaja dua kali air naik tutup jalan, jadi saya harapkan ada penyelesaian masalah ini daripada pihak berwajib.

“Mungkin boleh jalankan kerja mendalamkan sungai dan bersihkan longkang yang tersumbat,” katanya.

Tinjauan wartawan setakat 12.25 tengah hari mendapati air di jalan yang terjejas semakin surut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan