Norzamira Che Noh
SHAH ALAM: Lelaki yang ditemui maut dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di kawasan Taman Mesra Indah dekat Klang pada Sabtu lalu, mempunyai kesan lima das tembakan jarak dekat.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, bedah siasat mendapati kematian mangsa berusia 26 tahun itu berpunca daripada kecederaan tembakan berganda pada bahagian dada.
“Mangsa dipercayai ditembak dengan pistol dari jarak dekat dan pihak polis dalam siasatan menentukan motif kejadian serta mengesan suspek.
“Polis Selangor akan menyiasat semua aspek dan di peringkat awal ini, tidak wajar untuk terus menjurus kepada aspek gangsterism atau kongsi gelap,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata semakan mendapati, mangsa mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 39B dan Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ditanya sama ada mangsa terbabit dalam kongsi gelap, gangsterism atau perebutan kawasan berkaitan dadah, Shazeli menegaskan, siasatan mengenainya masih dijalankan.
Ahad lalu, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima maklumat mengenai kejadian itu, melalui talian MERS 999 pada jam 8.35 malam.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ditanya jika kejadian berkenaan mempunyai kaitan dengan kes tembak di stesen minyak di Bukit Tinggi, Klang, bulan lalu, Shazeli berkata, kedua-dua kes berkenaan tidak berkaitan.
“Tangkapan sebelum ini sudah diberi jaminan polis dan siasatan mendapati tiada keterangan boleh dikait dengan kejadian itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan