KOSMO!
SINGAPURA – Seorang pegawai keselamatan wanita ditumbuk dan mengalami kecederaan ketika bertugas di sebuah pusat beli-belah di utara Singapura, lapor portal berita MSNews hari ini.
Serangan pada Rabu lepas menyebabkan mangsa terpaksa mengambil cuti sakit walaupun pekerjaan tersebut merupakan periuk nasi utama untuk dia mencari nafkah buat keluarganya.
Pegawai keselamatan yang hanya dikenali sebagai Sister Delos itu menghampiri seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an sekitar pukul 11.30 malam (waktu tempatan).
Dia memberitahu bahawa pusat beli-belah tersebut akan ditutup untuk malam itu, namun lelaki berkenaan tidak memberikan sebarang maklum balas.
Menurut Kesatuan Pekerja Keselamatan (USE) dalam satu hantaran Facebook, apabila menghampiri lelaki itu untuk kali kedua, dia tiba-tiba menjadi agresif dan menumbuk mangsa.
Sister Delos cedera di tangan ketika cuba mempertahankan diri semasa konfrontasi itu.
Polis dimaklumkan segera dan laporan dibuat bersama rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut.
Sister Delos telah menerima rawatan perubatan dan diberikan tiga hari cuti sakit. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan