Pegawai KPM terbabit aktiviti songsang di spa digantung tugas

Raja Noraina Raja Rahim

KUALA LUMPUR: Pegawai terbabit aktiviti songsang di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit di sini, yang diserbu pihak berkuasa Jumaat lalu, digantung tugas.

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi satu kenyataan memaklumkan mengambil serius pembabitan beberapa pegawainya dalam aktiviti terbabit.

“KPM tidak berkompromi dengan perlakuan tidak bermoral ini. Siasatan dalaman sedang berjalan.

“Tindakan segera telah diambil dengan memastikan pegawai-pegawai terlibat tidak lagi berada di mana-mana institusi pendidikan bawah kementerian hingga proses siasatan selesai,” kata kenyataan itu.

KPM turut mengingatkan ketua jabatan untuk meningkatkan pemantauan dan memastikan kegiatan tidak bermoral dibanteras setiap peringkat.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 201 individu termasuk 17 penjawat awam yang disyaki terbabit dalam kegiatan tidak bermoral atau songsang ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Chow Kit.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus dilapor berkata, seramai 171 lelaki dibebaskan dengan jaminan selepas permohonan reman ke atas mereka ditolak mahkamah.

Beliau dilaporkan berkata, permohonan reman ke atas semua warga tempatan itu ditolak majistret atas alasan lewat dikemukakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan