Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Sarinah Apisah (kiri) memeriksa warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah kilang di Bukit Kemuning, petang tadi. – Foto NSTP
SHAH ALAM: Seramai 52 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di sebuah kilang di sini, petang tadi, dikesan menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain.
Kebanyakan mereka ini dikenal pasti sebagai warga Filipina berketurunan Suluk, didapati menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain itu bagi mendapatkan kerja termasuk menerima gaji.
Penahanan mereka dilakukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam satu serbuan, kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Seorang lelaki warga asing terbabit yang mendakwa berasal dari Semporna, Sabah, Jabar Abdul, 49, ketika pemeriksaan lanjut mengakui menggunakan kad pengenalan milik orang lain untuk bekerja di kilang berkenaan.
“Gaji saya akan dimasukkan ke dalam akaun banknya (pemilik kad pengenalan). Ketika hari gaji, dia akan mengambil sedikit wang gaji saya itu, sebelum bakinya diserahkan kepada saya.
“Saya masuk ke sini diuruskan oleh ejen dengan bayaran RM1,000. Saya tidak tahu menahu berkenaan kad pengenalan,” katanya.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, Sarinah Apisah berkata semua pendatang tanpa izin yang ditahan itu berusia lingkungan 25 hingga 60an yang berasal dari Filipina dan Indonesia.
“Berdasarkan tangkapan ini, kebanyakan mereka memberikan alasan menggunakan MyKad orang lain kerana ejen yang bawa. Ada yang tak pegang MyKad dan ejen uruskan.
“JPN akan siasat sama ada terdapat elemen sindiket atau kerelaan oleh warga tempatan yang menyerahkan MyKad. Kita akan kesan pemilik IC (kad pengenalan) itu,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi berkenaan.
Sarinah berkata semua yang ditahan itu dibawa ke JPN Putrajaya untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes diklasifikasi itu mengikut Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Pasukan operasi turut mendapat kerjasama daripada pengurusan kilang bagi membuat semakan nombor kad pengenalan mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan