Identiti 5 mangsa kebakaran di Ulu Dong dikenal pasti

T N Alagesh
alagesh@nst.com.my

Raub: Identiti lima sekeluarga yang maut dalam kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, di sini, awal pagi tadi sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, mangsa adalah pasangan suami isteri dan tiga anak perempuan mereka yang berusia antara 10 hingga 17 tahun.

Katanya, pasangan itu dikenal pasti sebagai peniaga, Mohd Awi Muhammad, 56, dan Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, manakala anak mereka ialah Ruby Adira Batrisya Mohd Alawi, 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10 tahun.

"Dua lagi anak pasangan itu tiada di rumah ketika kejadian. Anak perempuan mereka yang berusia 19 tahun sedang menuntut di sebuah kolej matrikulasi di Gambang, manakala anak lelaki berusia 15 tahun tinggal di asrama SMK Dong.

"Kesemua lima mayat dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Shahril katanya, pihak polis menerima maklumat berkenaan kebakaran itu pada jam 3.40 pagi sebelum sepasukan anggota polis dan bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.

Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Terdahulu, media melaporkan kebakaran itu turut memusnahkan tiga kereta dan tiga motosikal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan