Warga asing kendali bazar Ramadan?

Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendedahkan wujud bazar Ramadan yang dikendalikan warga asing, khususnya dalam penempatan mereka secara kecil-kecilan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, perkara itu dikesan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang dan berada dalam pemantauan pihaknya.

“Saya tidak menafikan ada koloni-koloni kecil yang mereka juga akan berniaga dalam kalangan mereka. Ini juga tidak terlepas daripada pemeriksaan kita.

“Namun, terdapat juga yang terlibat dalam kalangan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Sekiranya mereka memiliki kad yang sah dan sebagainya, kita tidak boleh mengambil tindakan undang-undang atau mendakwa mereka. Justeru, perkara itu menjadi kekangan kepada pihak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengagihkan bubur dalam Program Semarak Ramadan JIM, hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya turut meningkatkan pemeriksaan terhadap warga asing yang berniaga di bazar Ramadan sepanjang bulan puasa ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati, ada warga tempatan yang dikesan menggaji warga asing secara tidak sah untuk bekerja di bazar Ramadan.

“Berdasarkan operasi sejak awal Ramadan lalu, kami telah memeriksa beberapa bazar di sekitar Lembah Klang dan menahan 23 warga asing,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, JIM menerusi Program Repatriasi Migran 2.0 mengesahkan lebih 100,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah dihantar pulang ke negara asal sejak pelaksanaannya pada Mei tahun lalu.

Ia turut menjana hasil sebanyak RM88 juta kepada kerajaan dan masih berjalan, sebelum berakhir pada April depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan