2 maut, seorang parah jatuh ‘skylift’

MUHAMMAD NAJIEB AHMAD FUAD

SUBANG JAYA – Dua lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas terjatuh daripada jentera skylift (pelantar angkat) ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di sebuah rumah pangsapuri di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu, ketiga-tiga mangsa berusia 38 hingga 46 tahun dipercayai sedang melakukan kerja di tingkat lima sebelum insiden berlaku.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu melalui panggilan kecemasan MERS 999 daripada orang awam.

Menurutnya, sepasukan polis dari Balai Polis USJ 8 bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga lelaki yang merupakan warga asing dalam keadaan terbaring di bahagian pintu masuk pangsapuri.

“Dua daripada mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan selepas mengalami kecederaan di kepala dan dada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang maut didapati mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta anggota badan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa menjalankan kerja penyelenggaraan menggunakan jentera skylift di tingkat lima. Ketika kejadian, cuaca dilaporkan hujan lebat,” ujarnya.

Tambahnya, setakat ini tiada unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

“Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk bedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Subang Jaya di talian 03-78627222 atau 03-78627100 bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan