Azizul cipta kejutan raih emas, tewaskan pelumba nombor satu dunia

Amirul Fazli Zulkafli
sukan@hmetro.com.my

AZIZUL raih emas keirin di Piala Dunia Berbasikal Trek UCI di Perth. -FOTO Arkib
Kuala Lumpur: Pelumba trek berpengalaman negara, Datuk Azizulhasni Awang terus membuktikan dirinya masih berbisa dan mampu bersaing di pentas dunia apabila menghadiahkan pingat emas acara keirin pada siri pembukaan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI di Perth, hari ini.

Pada aksi final di Velodrom Perth SpeedDome, Azizulhasni yang bermula di belakang bijak menyusun strategi dengan mengekori rapat pelumba nombor satu dunia dari Great Britain, Matthew Richardson dan menunggu masa tepat sebelum melakukan pecutan emasnya.

Seperti dijangka, Richardson melakukan pecutan terlebih dahulu, tetapi Azizulhasni menggunakan pengalaman yang ada pada dirinya untuk menukar keadaan dengan memintas pada saat-saat akhir.

Pemenang terpaksa ditentukan melalui semakan foto sebelum pelumba kelahiran Terengganu itu didapati terlebih dahulu melintasi garisan untuk meraih emas.

Sementara itu, harapan untuk melihat wakil pecut individu wanita turut meraih podium tidak kesampaian apabila dua pelumba negara, Izzah Izzati Asri dan Nur Alyssa Farid terkandas di pusingan kedua.

Izzah Izzati terpaksa akur kalah kepada juara Olimpik dari New Zealand, Ellesse Andrews manakala Alyssa disingkirkan pelumba China, Yuan Liying yang kemudian muncul juara selepas menewaskan Andrews pada aksi final.

Esok, Azizulhasni akan meneruskan cabaran dalam acara pecut individu lelaki manakala Izzah dan Alyssa akan beraksi dalam acara keirin wanita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan