Ibu 3 anak didenda RM3,000 curi barang kemas pesakit

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret Seremban mendenda ibu tiga anak RM3,000 atas pertuduhan mencuri barangan kemas pesakit yang sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).

Sinar Harian melaporkan Siti Aisyah Rusly, 38, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nurul Saqinah Rosli, yang turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan, jika gagal membayar denda.

Wanita itu didakwa mencuri seutas rantai leher emas berserta loket, gelang tangan emas, gelang kaki emas dan sepasang subang emas milik seorang wanita 56 tahun di zon hijau HTJ kira-kira 4.30 hingga 6.30 petang 13 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Razqeeyanur Sarini Salzali, berkata tertuduh memohon denda minimum kerana telah dibuang kerja dan perlu menanggung tiga anak berusia lapan hingga 11 tahun.

Beliau berkata, tertuduh memohon maaf atas kesalahan dilakukannya dan mengakui terjebak hutang ah long yang menyebabkan dia tiada pilihan lain.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Mengikut fakta kes, pengadu membuat laporan polis mendakwa barang kemasnya yang disimpan dalam beg plastik ketika sedang dirawat di zon hijau hilang, sebelum tertuduh ditahan pada 14 Mac lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan