Harapandaily
Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, mengikut persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), kerusi yang sebelum ini dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN) akan ditandingi oleh rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
Jelasnya, parti yang akan bertanding ialah parti yang memperoleh jumlah undi kedua tertinggi di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, formula berkenaan jelas, rasional dan berasaskan data malah berdasarkan kajian dalaman terhadap corak pengundian.
Justeru, katanya, potensi realistik BN di bawah persefahaman tersebut adalah BN akan bertanding sekitar 85 kerusi, bukannya 115 kerusi seperti tular dibangkitkan di media sosial.
Mengulas dakwaan tersebut, Lokman menyifatkan ia sebagai naratif palsu yang sengaja dicipta bagi menimbulkan kecurigaan terhadap parti tersebut.
Tegasnya, Majlis Tertinggi BN mahupun Pengerusi BN tidak pernah mengeluarkan kenyataan akan bertanding sejumlah kerusi seperti didakwa.
“Ia hanyalah fiksyen politik yang direka untuk mencetuskan ketegangan dalam Kerajaan Perpaduan.
Musuh-musuh UMNO dan BN memutar-belitkan perkara ini sebagai tanda terdesak.
“Mereka mendakwa BN mahu menghapuskan persepsi bahawa ia hanya pemain kedua di belakang Pakatan Harapan (PH) dengan bertanding lebih banyak kerusi daripada PH.
“Tuduhan itu mungkin kedengaran dramatik, tetapi ia tidak bertahan apabila diteliti. Inilah fakta sebenarnya,” kata Lokman lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan